Oleh Athirah Huda Zalhe

Duniaekspress, 31 juli 2017 – Perbezaan fahaman akidah di antara pengikut Sunni dan Syiah tidak akan boleh membentuk sebarang kerjasama dalam memartabatkan agama Islam, tegas Ketua Biro Islamiyat Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Omar Kassim.

Menyelar ucapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini, beliau berkata, ini berikutan pengikut Syiah secara jelas memusuhi Ahlus Sunnah.

“Bagaimana hendak bekerjasama? Akidah yang merupakan perkara prinsip sudah tidak sama antara keduanya. Yang menjadi sulit apabila mereka mengguna senjata mereka yang sangat halus iaitu bertaqiyyah. Taqiyyah ialah mereka menyembunyikan aqidah syiah mereka,” katanya kepada Ismaweb, hari ini.

Memetik contoh bagaimana Syiah boleh diterima masuk ke Makkah sedangkan ia khusus kepada orang Islam sahaja, tegas Omar di situlah puak itu bertaqiyyah, iaitu menyembunyikan akidah Syiah mereka.

“Bila berdepan imigresen dan permohonan visa, mereka boleh sahaja mengaku mereka Sunni.

“Sudah tentu mereka tidak menzahirkan akidah mereka yang boleh mengeluarkan mereka daripada Islam seperti mencerca sahabat, menghina isteri-isteri Nabi S.A.W yang mulia, menganggap Al-Quran yang dimiliki oleh kita Ahlus Sunnah ini tidak lengkap serta banyak lagi akidah sesat mereka yang mengeluarkan mereka dari batasan Muslim,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas ucapan Zahid pada perasminan penutup Persidangan Ulama Antarabangsa dan Majlis Zikir Perdana Sedunia 2017, baru-baru ini.

Zahid dalam ucapannya menyeru umat Islam di negara ini bersama-sama memartabatkan Islam, sama ada pengikut Sunnah mahupun Syiah.

“Saya berpandangan beliau bukan tidak faham, tetapi buat-buat tak faham. Ianya sangat mengecewakan apabila kita memiliki pemimpin yang longgar dengan isu akidah. Syiah bijak menggunakan hujah hak asasi manusia yang ditaja Barat kononnya mereka tertindas.

“Tiada siapa yang ditindas, mereka hanya mencari peluang untuk menyebarkan fahaman jijik dan jahat ini di negara kita.

“Kenyataan Zahid kononnya perlu bekerjasama akan diambil peluang oleh mereka. Sepatutnya dia sebagai TPM perlu tegas, jelas dan berani dalam menjelaskan kepada masyarakat tentang bahaya Syiah” kata Omar.

Katanya lagi, bagaimana mungkin Sunni dan Syiah bekerjasama, sebagai merujuk kekejaman Basyar al Assad yang berfahaman Syiah terhadap umat Islam Sunni di Syria.

Sementara, Syiah Houthi di Yaman pula beberapa kali cuba menghantar peluru berpandu ke arah Makkah, kata Omar.

“Ada kawan saya mengerjakan umrah pada 2011 dapat melihat bagaimana kebencian puak Syiah (dari Iran dan luar Iran) memijak-mijak makam sahabat-sahabat Nabi SAW, apabila pagar perkuburan Baqi’ dibuka untuk lawatan selepas Asar.

“Inilah mereka sebenarnya. Mereka telah dididik dan doktrinasi untuk memusuhi Sunni. Seharusnya mereka tidak diberikan ruang untuk menyebarkan ajaran mereka langsung.

“Menyebut perlu bekerjasama, seperti disebut Zahid bermakna mengikiraf mereka dan memberi ruang untuk mereka menyebarkan ajaran sesat di negara kita” katanya.

(AB).